RENJER HIDUPAN LIAR KEHORMAT LAWAS BANTU USAHA PEMULIHARAAN DUGONG DAN RUMPUT LAUT

LAWAS, 4 MAC 2017 – Pemuliharaan biodiversiti merupakan usaha yang sangat mencabar; terutamanya dalam usaha pemuliharaan Dugong dan Rumput Laut di Sarawak kerana habitat Dugong di pesisiran pantai Lawas merangkumi kawasan yang luas. Mengakui cabaran yang dihadapi tersebut, kerajaan Negeri telah mengajak masyarakat setempat di daerah Lawas untuk turut sama membantu dalam usaha pemuliharaan dugong dan rumput laut. Justeru itu, 70 individu telah dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar Kehormat di dalam sebuah majlis pelantikan rasmi yang berlangsung di sini hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II yang juga merupakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak. Awang Tengah di dalam ucapan perasmian beliau, berkata, “Kerajaan Negeri Sarawak mengiktiraf kepentingan kawasan Kuala Lawas bagi pemuliharaan hidupan marin di negeri ini. Oleh itu, pewartaan Taman Negara Kuala Lawas akan direalisasikan bertepatan dengan perancangan Negeri untuk mewartakan 1.5 juta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya.”

“Pewartaan Taman Negara Kuala Lawas yang merupakan Taman Negara pertama di daerah Lawas akan membolehkan spesies marin dipulihara dengan lebih baik terutamanya bagi spesies dugong yang terancam. Selain itu, pewartaan tersebut akan turut mendatangkan faedah kepada masyarakat Lawas daripada sudut ekonomi susulan pembangunan “turnkey services” untuk industri ekopelancongan,” tambah beliau lagi.

Wong Ting Chung, Ketua Pegawai Eksekutif SARAWAK FORESTRY turut berucap di majlis tersebut. Wong menyatakan, “Tugas melindungi dan memulihara alam sekitar kita bukanlah sesuatu yang mudah walaupun wujudnya usaha bersama antara SARAWAK FORESTRY dan Jabatan Hutan Sarawak. Pelbagai program telah diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha pemuliharaan termasuklah program Renjer Hidupan Liar Kehormat.”

“Ini merupakan pelantikan Renjer Hidupan Liar Kehormat yang kedua bagi daerah Lawas. Namun, pelantikan pada kali sedikit berbeza daripada pelantikan sebelumnya di mana pelantikan pada kali ini mempunyai kaitan dengan projek antarabangsa, Projek Pemuliharaan Dugong dan Rumput Laut,” ujarnya lagi.

Projek Pemuliharaan Dugong dan Rumput Laut merupakan usaha bersepadu pertama di dunia untuk memulihara dugong dan habitatnya dan melibatkan 8 buah  negara; Malaysia, Indonesia, Madagascar, Mozambique, Sri Lanka, Kepulauan Solomon, Timor-Leste dan Vanuatu. Tapak projek di Malaysia melibatkan kawasan Kuala Lawas dan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi di Johor. Melalui program Pendidikan dan Kesedaran Komuniti SARAWAK FORESTRY Corporation (SFC), 98 pelajar daripada sekolah terpilih telah didedahkan dengan keperluan dan konsep pemuliharaan dugong.

Lapan spesies rumput laut telah direkodkan di pantai-pantai di sepanjang pesisiran Sg. Bangkulit sehinggalah Kuala Kebab Putus di Lawas. Padang rumput laut di kawasan tersebut merupakan antara yang terbesar di Malaysia dan juga merupakan tapak pencarian makanan terbesar bagi pelbagai stok genetik penyu hijau di Rantau Asia Tenggara. Khazanah yang tidak ternilai ini menjadikan Lawas sebagai sebuah daerah yang unik berbanding daerah-daerah lain di Sarawak.

Tags: